Return to BahaiPrayers.net
Facebook
Dilaksanakan sekali dalam dua puluh empat jam.
Barangsiapa yang hendak berdoa, haruslah berdiri dan menghadap kepada Tuhan, dan sambil berdiri di tempatnya, dia harus menoleh ke kanan dan ke kiri bagaikan orang yang menanti-nantikan rahmat Tuhannya, Yang Maha Pengasih, Yang Maha Penyayang. Kemudian biarlah dia mengucapkan:
Ya Engkau Tuhan segala nama dan Pencipta syurga-syurga! Aku memohon kepada-Mu demi mereka Yang adalah Tempat Terbit Inti-Mu yang ghaib, Yang Maha Luhur, Yang Maha Mulia, agar menjadikan doaku sebagai api yang akan membakar segala tabir yang telah menutupiku daripada keindahan-Mu, dan sebagai cahaya yang akan membimbingku ke samudera Kehadiran-Mu.
Kemudian biarlah dia mengangkat tangannya dalam rayuan kepada Tuhan—dirahmati dan dimuliakan Dia—sambil mengucapkan:
Ya Engkau Hasrat alam semesta dan Kekasih segala bangsa! Engkau melihat diriku sedang menghadap kepada-Mu dan memisahkan diriku daripada segala sesuatu selain Engkau, dan memegang tali-Mu, melalui gerakannya seluruh ciptaan telah digerakkan. Aku hamba-Mu, Ya Tuhanku, dan putera hamba-Mu. Lihatlah aku sedang berdiri sambil bersedia untuk melakukan mengikut kehendak dan hasrat-Mu, dan tidak mengharapkan apa pun kecuali keredaan baik-Mu. Aku memohon kepada-Mu demi Samudera rahmat-Mu dan Suria kurnia-Mu agar Engkau melakukan kepada hamba-Mu apa yang Engkau kehendaki dan redai. Demi kekuasaan-Mu yang jauh lebih tinggi daripada ucapan dan pujian! Apa sahaja yang telah diturunkan oleh-Mu adalah hasrat hatiku dan kekasih jiwaku. Ya Tuhan, Tuhanku! Janganlah melihat kepada harapan-harapanku dan perbuatan-perbuatanku, tetapi pandanglah kepada kehendak-Mu yang meliputi langit dan bumi. Demi Nama-Mu Yang Maha Agung, Ya Engkau Raja segala bangsa! Aku hanya menghendaki apa yang Engkau kehendaki dan hanya mencintai apa yang Engkau cintai.
Kemudian biarlah dia bersujud (berlutut sambil meletakkan dahi ke lantai), dan mengucapkan:
Lebih mulialah Engkau di atas segala sifat yang diberikan oleh sesiapa pun selain Engkau Sendiri dan di atas pengertian sesiapa pun kecuali Engkau.
Kemudian dia berdiri dan mengucapkan:
Ya Tuhanku, jadikanlah doaku laksana suatu sumber air kehidupan, yang melaluinya, aku dapat hidup selama kerajaan-Mu berlangsung, dan dapat menyebut Engkau dalam setiap alam daripada alam-alam-Mu.
Kemudian biarlah dia mengangkat kedua-dua tangannya lagi dalam rayuan dan mengucapkan:
Ya Engkau, yang apabila terpisah daripada-Mu, leburlah hati dan jiwa, dan dengan api cinta-Mu seluruh dunia telah dinyalakan! Aku memohon kepada-Mu demi Nama-Mu yang melaluinya Engkau telah menguasai seluruh ciptaan, agar jangan menghalangi aku daripada apa yang ada pada-Mu, Ya Engkau yang menguasai semua manusia! Ya Tuhanku, Engkau melihat orang asing ini sedang bergegas menuju ke tempat asalnya yang tertinggi di bawah naungan kubah keagungan-Mu dan dalam lingkungan rahmat-Mu; dan orang yang berdosa ini sedang mencari samudera pengampunan-Mu; dan orang yang hina ini sedang mencari istana kemuliaan-Mu; dan makhluk miskin ini mencari ufuk kekayaan-Mu. Engkaulah memiliki kekuasaan untuk memerintah apa pun yang Engkau kehendaki. Aku naik saksi bahawa Engkaulah yang harus dipuji dalam segala tindakan-Mu, dan yang harus ditaati dalam segala keputusan-Mu, dan yang bebas dalam segala perintah-Mu.
Kemudian biarlah dia mengangkat kedua-dua tangannya dan mengucapkan "Alláh-u-Abhá" tiga kali. Kemudian biarlah dia membongkokkan badan dengan tangan pada lutut di hadapan Tuhan—Maha Suci dan Maha Mulialah Dia—dan mengucapkan:
Ya Tuhanku, Engkau melihat bagaimana jiwaku telah dibangkitkan dalam anggota badanku, dalam kerinduannya untuk menyembah-Mu, dan dalam hasratnya untuk memperingati-Mu dan memuji-Mu; dan bagaimana jiwaku telah naik saksi kepada apa yang telah disaksikan oleh Lidah Perintah-Mu dalam kerajaan ucapan-Mu dan syurga pengetahuan-Mu. Ya Tuhanku, aku amat berhasrat dalam keadaan ini untuk memohon daripada-Mu semua yang ada pada-Mu, agar aku dapat membuktikan kemiskinanku dan memperbesarkan pemberian-Mu dan kekayaan-Mu, dan dapat menyatakan kelemahanku, serta memperlihatkan kekuasaan-Mu dan kekuatan-Mu.
Kemudian biarlah dia berdiri dan mengangkat tangannya dua kali dalam rayuan, dan mengucapkan:
Tiada Tuhan melainkan Engkau, Yang Maha Kuasa, Yang Maha Dermawan. Tiada Tuhan melainkan Engkau, Pentakdir, baik pada awal mahupun akhir. Ya Tuhanku! Pengampunan-Mu telah memberanikan daku, dan rahmat-Mu telah menguatkan daku, dan panggilan-Mu telah membangunkan daku, dan kurnia-Mu telah membangkitkan daku dan membimbing aku kepada-Mu. Jika tidak, siapakah aku ini, yang berani berdiri di pintu kota kedekatan-Mu, atau mengarahkan wajahku kepada cahaya yang bersinar dari langit kehendak-Mu? Ya Tuhanku, Engkau melihat makhluk miskin ini mengetuk pintu kurnia-Mu, dan jiwa yang fana ini mencari sungai kehidupan abadi daripada tangan kemurahan-Mu. Engkaulah memiliki perintah dalam segala hal, Ya Engkau Tuhan segala nama; dan bagiku hanyalah kepasrahan dan penyerahan diri dengan rela kepada kehendak-Mu, Ya Pencipta syurga-syurga!
Kemudian biarlah dia mengangkat tangannya tiga kali, dan mengucapkan:
Tuhan lebih berkuasa daripada setiap orang yang berkuasa!
Kemudian biarlah dia bersujud dan mengucapkan:
Terlalu tinggilah Engkau bagi pujian-pujian mereka yang dekat kepada-Mu, untuk naik ke langit kedekatan-Mu, atau bagi burung-burung yang kalbu mereka setia kepada-Mu untuk mencapai pintu gapura-Mu. Aku naik saksi bahawa Engkau telah disucikan atas segala sifat-sifat dan atas segala nama. Tiada Tuhan melainkan Engkau, Yang Maha Tinggi, Yang Maha Mulia.
Kemudian biarlah dia duduk dan mengucapkan:
Aku naik saksi kepada apa yang telah disaksikan oleh semua benda tercipta, dan Angkatan di atas, para penghuni Syurga yang tertinggi dan di atas semua itu, Lidah Kebesaran Sendiri daripada Ufuk yang maha mulia, bahawa sesungguhnya Engkaulah Tuhan, bahawa tiada Tuhan melainkan Engkau, dan Dia yang telah dijelmakan adalah Misteri Tersembunyi, Tanda yang Terpendam, yang melalui-Nya telah menghubungkan dan mencantumkan huruf Kaf dengan Nun . Aku naik saksi bahawa Dialah yang nama-Nya telah ditulis oleh Pena Yang Maha Tinggi, dan yang telah tercantum dalam Kitab-kitab Tuhan, Raja istana di syurga dan di bumi.
Kaf dengan Nun menjadi Kun, maksudnya "jadilah!" Dengan kata itulah Tuhan menjadikan alam.
Kemudian biarlah dia berdiri tegak dan mengucapkan:
Ya Tuhan segala makhluk dan Pemilik segala sesuatu baik yang nyata mahupun yang ghaib! Engkau melihat air mataku berlinangan dan keluhan yang aku ucapkan, dan mendengar rintihanku, dan ratapanku, dan tangisan hatiku. Demi kekuasaan-Mu! Pelanggaran-pelanggaranku telah menjauhkan daku daripada mendekati-Mu; dan dosa-dosaku telah menahan daku jauh daripada istana kesucian-Mu. Ya Tuhanku, cinta-Mu telah memperkayakan daku, dan perpisahan dengan-Mu telah menghancurkan daku, dan keterpencilan daripada-Mu telah membakar diriku. Aku memohon kepada-Mu, demi jejak-jejak kaki-Mu di belantara ini dan demi kalimat, "Di sinilah aku, di sinilah aku" yang telah diucapkan oleh hamba-hamba pilihan-Mu dalam alam semesta ini, dan demi hembusan Wahyu-Mu, serta angin lembut Fajar Penjelmaan-Mu, untuk mentakdirkan agar aku dapat memandang kepada keindahan-Mu dan mematuhi apa sahaja yang ada dalam Kitab-Mu.
Kemudian biarlah dia menyebutkan Alláh-u-Abhá tiga kali, dan membongkokkan badan dengan tangan pada lutut, dan mengucapkan:
Pujian bagi-Mu, Ya Tuhanku, kerana Engkau telah membantuku untuk mengingat dan memuji-Mu, dan telah memperkenalkan kepadaku Dia yang menjadi Tempat Terbit tanda-tanda-Mu, dan telah menyebabkan daku untuk bersujud di hadapan Kekuasaan-Mu dan merendahkan diriku di hadapan Ketuhanan-Mu, dan untuk mengakui apa yang telah diucapkan oleh Lidah kebesaran-Mu.
Kemudian biarlah dia bangun dan mengucapkan:
Ya Tuhan, Tuhanku! Belakangku telah dibongkokkan oleh beban dosaku dan kelalaianku telah menghancurkan daku. Bila sahaja aku memikirkan keburukan perbuatan-perbuatanku dan kemurahan hati-Mu, luluhlah rasanya hatiku dalam diriku, dan mendidih darah dalam urat nadiku. Demi Keindahan-Mu, Ya Engkau Hasrat dunia! Aku berasa malu untuk menghadapkan wajahku kepada-Mu, dan tangan harapanku berasa segan untuk diangkat ke langit kedermawanan-Mu. Ya Tuhanku, Engkau melihat bagaimana air mataku menghalangku daripada mengingati-Mu dan daripada memuji sifat-sifat-Mu, Ya Engkau Raja Istana di syurga dan di bumi! Aku memohon kepada-Mu demi tanda-tanda Kerajaan-Mu dan misteri-misteri Kekuasaan-Mu, agar Engkau berbuat terhadap kekasih-kekasih-Mu apa yang patut bagi kemurahan hati-Mu, Ya Raja segala makhluk, dan yang layak bagi rahmat-Mu, Ya Raja yang nyata dan yang ghaib!
Kemudian biarlah dia mengucapkan "Alláh-u-Abhá" tiga kali dan bersujud sambil mengucapkan:
Pujian bagi-Mu, Ya Tuhan kami, kerana Engkau telah menurunkan kepada kami apa yang akan mendekatkan kami kepada-Mu, dan kerana Engkau telah menganugerahkan kepada kami segala kebaikan yang Engkau turunkan dalam Kitab-kitab dan Tulisan-tulisan-Mu. Ya Tuhanku, kami memohon agar Engkau melindungi kami daripada laskar-laskar khayalan-khayalan kosong dan angan-angan yang sia-sia. Sesungguhnya, Engkau adalah Yang Maha Kuasa dan Yang Maha Arif.
Kemudian biarlah dia mengangkat kepalanya, dan duduk lalu mengucapkan:
Aku naik saksi, Ya Tuhanku, kepada apa yang disaksikan oleh Hamba-hamba-Mu yang terpilih dan aku mengakui apa yang telah diakui oleh penghuni-penghuni Syurga Tertinggi dan oleh mereka yang telah mengelilingi Istana-Mu yang agung. Kerajaan-kerajaan di bumi dan di syurga adalah milik-Mu, Ya Tuhan sekalian alam!
- Bahá'u'lláh