Return to BahaiPrayers.net
Facebook
Orang yang berdosa apabila dalam keadaan yang mana dia mendapati dirinya bebas dan terpisah daripada segala sesuatu kecuali Tuhan, harus memohon kemaafan dan pengampunan. Tidak dibenarkan untuk mengaku dosa dan pelanggaran seseorang di hadapan sesiapa pun kerana ini tidak akan pernah membawa pengampunan daripada Tuhan. Demikian juga pengakuan dosa di hadapan orang akan membawa kepada kerendahan dan penghinaan seseorang, dan Tuhan, dijunjung tinggilah kemuliaan-Nya, tidak menghendaki penghinaan hamba-hamba-Nya. Sesungguhnya, Dia Maha Pemurah dan Maha Dermawan! Seorang yang berdosa harus memohon antara dirinya sendiri dan Tuhan, rahmat dari samudera kurnia dan memohon pengampunan dari Langit kedermawanan sambil berkata:
Ya Tuhan, Ya Tuhanku! Aku memohon kepada-Mu demi darah kekasih-kekasih-Mu yang telah demikian tertarik oleh ucapan manis-Mu sehingga mereka pergi ke puncak tertinggi, tempat kesyahidan teragung, dan aku memohon kepada-Mu demi rahsia-rahsia yang tersembunyi dalam pengetahuan-Mu dan demi mutiara-mutiara yang tersimpan dalam samudera anugerah-Mu agar memaafkan daku dan bapaku serta ibuku. Sesungguhnya, Engkaulah Yang Maha Pengampun antara mereka yang pengampun! Tiada Tuhan kecuali Engkau, Pengampun Selalu, Yang Maha Rahim!
Ya Tuhanku! Engkau melihat inti kesalahan ini sedang menuju ke samudera pemberian-Mu, dan orang lemah ini menuju ke kerajaan kekuasaan-Mu, dan makhluk miskin ini menuju ke suria kekayaan-Mu. Demi rahmat-Mu dan kurnia-Mu, janganlah mengecewakannya, Ya Tuhan, mahupun menjauhkannya daripada penjelmaan-penjelmaan rahmat-Mu pada hari-hari-Mu, mahupun menghalaunya dari pintu-Mu yang telah Engkau buka luas di hadapan semua yang ada di syurga-Mu dan di bumi-Mu.
Sayang! Sayang! Dosa-dosaku telah menghalangi daku daripada mendekati Istana kesucian-Mu, dan dosa-dosaku telah menjauhkan daku daripada Khemah keagungan-Mu. Sesungguhnya aku telah berbuat apa yang telah Engkau larang bagiku; dan aku telah mengabaikan apa yang telah Engkau perintahkan kepadaku!
Aku memohon kepada-Mu demi Dia Yang adalah Raja segala Nama yang berdaulat agar menetapkan bagiku daripada Pena rahmat-Mu, apa yang akan mendekatkan daku kepada-Mu dan akan membersihkan diri daripada dosa-dosaku yang telah menghalang diriku daripada kemaafan-Mu dan pengampunan-Mu.
Sesungguhnya, Engkaulah Yang Maha Kuasa, Yang Maha Dermawan! Tiada Tuhan kecuali Engkau, Yang Maha Perkasa, Yang Maha Pengasih!
- Bahá'u'lláh