Return to BahaiPrayers.net
Facebook
Pujian bagi-Mu, Ya Tuhanku, kerana Engkau telah menetapkan Naw-Rúz sebagai satu hari raya bagi mereka yang telah berpuasa kerana cinta kepada-Mu dan telah menjauhkan diri daripada segala sesuatu yang tak Engkau sukai. Izinkanlah, Ya Tuhanku, api cinta-Mu dan haba yang dihasilkan kerana puasa yang telah Engkau tetapkan agar menyalakan semangat mereka dalam Akidah-Mu, dan membuat mereka asyik dengan pujian dan pengingatan kepada-Mu.
Kerana Engkau telah menghiasi mereka, Ya Tuhanku, dengan perhiasan puasa yang ditetapkan oleh-Mu, maka hiasilah mereka dengan perhiasan penerimaan-Mu melalui kurnia dan rahmat-Mu. Kerana perbuatan manusia semuanya bergantung kepada keredaan-Mu, dan ditentukan oleh perintah-Mu. Seandainya Engkau menganggap dia yang telah melanggar kewajipan berpuasa sebagai seorang yang telah menunaikan ibadah puasa, orang itu akan termasuk dalam bilangan mereka yang selama-lamanya telah berpuasa. Dan seandainya Engkau menetapkan bahawa dia yang telah menunaikan ibadah puasa, telah melanggar kewajipan berpuasa, maka orang itu akan termasuk bilangan mereka yang telah mengotori Jubah Wahyu-Mu dengan debu, dan telah menjauhkan diri daripada air jernih yang berasal daripada Mata Air hidup ini.
Engkaulah Dia yang melalui-Nya panji "Terpujilah Engkau dalam perbuatan-Mu" telah dinaikkan, dan bendera "Ditaatilah Engkau dalam perintah-Mu" telah dikibarkan. Maklumkanlah kedudukan-Mu ini, Ya Tuhanku, kepada hamba-hamba-Mu, supaya mereka menyedari bahawa kecemerlangan segala benda bergantung kepada perintah dan kalimat-Mu, dan bahawa sifat setiap tindakan ditentukan oleh keizinan-Mu dan keredaan kehendak-Mu, dan semoga mereka mengakui bahawa kuasa ke atas perbuatan-perbuatan manusia berada dalam genggaman penerimaan-Mu dan perintah-Mu. Maklumkanlah ini kepada mereka itu, supaya tiada apa pun yang dapat menjauhkan mereka daripada Keindahan-Mu, pada hari-hari ini ketika Kristus berseru: "Semua kerajaan milik-Mu, Ya Engkau Pengutus Roh [Yesus]", dan Sahabat-Mu [Muhammad] telah berseru: "Pujian bagi-Mu, Ya Engkau Yang Tercinta, kerana Engkau telah menunjukkan Keindahan-Mu, dan telah menetapkan bagi orang-orang pilihan-Mu apa yang akan membolehkan mereka mencapai singgahsana penjelmaan Nama-Mu Yang Maha Agung, yang melaluinya semua umat meratap kecuali mereka yang telah melepaskan dirinya daripada segala sesuatu kecuali Engkau, serta menuju kepada Dia yang menjadi Penjelmaan Diri-Mu dan Perwujudan sifat-sifat-Mu.”
Dia yang adalah Cabang-Mu dan semua mereka yang ada di sekeliling-Mu, Ya Tuhanku, telah membuka puasanya pada hari ini, setelah mereka berpuasa dalam lingkungan istana-Mu, dan dalam keinginan mereka untuk menyenangkan-Mu. Tetapkanlah baginya dan bagi mereka, dan bagi semua yang telah memasuki hadirat-Mu pada hari-hari itu, segala kebaikan yang telah Engkau takdirkan dalam Kitab-Mu. Lalu berikanlah kepada mereka apa yang menguntungkan mereka, baik di dunia ini mahupun di akhirat.
Engkau, sesungguhnya, adalah Yang Maha Tahu dan Yang Maha Arif.
- Bahá'u'lláh