Return to BahaiPrayers.net   Facebook

LOH AHMAD

”Doa-doa wajib ini, bersama beberapa doa-doa khusus yang lain, seperti Doa Kesembuhan dan Loh Ahmad, telah dikurniai Bahá'u'lláh dengan kekuatan dan makna yang istimewa, dan oleh itu ia harus diterima dan dilafazkan oleh para penganut dengan kepercayaan dan keyakinan yang mutlak, agar dengannya mereka dapat memasuki perbualan yang akrab dengan Tuhan, dan lebih menjiwai Hukum-Hukum dan perintah-perintah Tuhan.”

~ daripada surat yang ditulis bagi pihak Shoghi Effendi

Dia adalah Raja, Yang Maha Tahu, Yang Maha Arif! Lihatlah, Bulbul Firdaus menyanyi di atas ranting-ranting Pohon Keabadian, dengan melodi yang suci dan merdu, mengumumkan kepada mereka yang ikhlas, khabar gembira tentang kedekatan Tuhan, memanggil para penganut dalam Kesatuan Ilahi, untuk memasuki istana Kehadiran Yang Maha Dermawan, memberitahu mereka yang terpesong tentang utusan yang diwahyukan oleh Tuhan, Sang Raja, Yang Maha Mulia, Yang Tiada Banding Taranya, membimbing para kekasih ke arah takhta kesucian dan ke arah Keindahan yang gilang-gemilang ini.

Sesungguhnya, inilah Keindahan Maha Agung, yang diramalkan dalam Kitab-kitab para Pengutus, melaluinya kebenaran dapat dibezakan daripada kesalahan dan kearifan setiap perintah akan diuji. Sesungguhnya, Dia adalah Pohon Kehidupan yang menghasilkan buah-buahan Tuhan, Yang Maha Luhur, Yang Maha Kuasa, Yang Maha Besar.

Wahai Ahmad! Naik saksilah Engkau bahawa sesungguhnya, Dia adalah Tuhan, dan tiada Tuhan melainkan Dia, Sang Raja, Pelindung, Yang Tiada Taranya, Yang Maha Kuasa. Dan bahawasanya Dia yang telah diutus oleh-Nya dengan nama Ali adalah yang benar daripada Tuhan, dan kita semua harus tunduk pada perintah-perintah-Nya.

Katakanlah: Wahai manusia taatilah perintah-perintah Tuhan, yang telah ditetapkan dalam Bayan oleh Yang Maha Mulia, Yang Maha Arif. Sesungguhnya, Dia adalah Raja para Pengutus dan Kitab-Nya adalah Ibu Kitab, seandainya engkau mengetahuinya.

Demikianlah Burung Bulbul mengucapkan seruan-Nya kepadamu dari penjara ini. Dia seharusnya menyampaikan utusan yang jelas ini. Barangsiapa yang mengingini, biarlah dia berpaling daripada nasihat ini, dan barangsiapa yang mengingini biarlah dia memilih jalan ke arah Tuhannya.

Wahai manusia, jika engkau mengingkari ayat-ayat ini, dengan bukti apakah engkau telah mempercayai Tuhan? Tunjukkanlah, wahai perkumpulan yang palsu.

Tidak, demi Dia yang dalam tangan-Nya tergenggam jiwaku, mereka tidak mampu dan tidak akan sanggup berbuat demikian, meskipun mereka bersatu untuk saling membantu.

Wahai Ahmad! Janganlah engkau melupakan kurnia-kurnia-Ku tatkala Aku tidak ada. Ingatlah hari-hari-Ku selama hari-harimu, dan kesengsaraan serta pembuangan-Ku ke dalam penjara yang terpencil ini. Dan berpegang teguhlah engkau dalam cinta kasih-Ku, sehingga kalbumu tidak akan goyah, meskipun pedang-pedang musuh menghujani dirimu dan seluruh langit dan bumi bangkit menentangmu.

Jadilah engkau laksana nyalaan api bagi musuh-musuh-Ku dan sungai kehidupan abadi bagi kekasih-kekasih-Ku dan janganlah termasuk mereka yang ragu-ragu.

Dan jikalau engkau ditimpa kesukaran di jalan-Ku, atau dihina demi Aku, janganlah susah hati kerananya.

Tawakallah kepada Tuhan, Tuhanmu, dan Tuhan nenek moyangmu. Kerana orang-orang itu sedang mengembara di jalan-jalan khayalan, pandangan mereka kabur untuk melihat Tuhan dengan mata mereka sendiri atau mendengar Melodi-Nya dengan telinga mereka sendiri. Demikianlah Kami menemui mereka itu, sebagaimana engkau juga telah saksikan.

Dengan demikian ketahyulan mereka menjadi tabir-tabir antara mereka dan kalbu-kalbu mereka sendiri dan menghalangi mereka daripada jalan Tuhan, Yang Maha Luhur, Yang Maha Agung.

Yakinlah dalam hatimu sendiri, bahawa sesungguhnya, barangsiapa yang berpaling daripada Keindahan ini, telah berpaling daripada para Pengutus pada masa lampau dan menunjukkan kebongkakkannya kepada Tuhan dari awal yang tiada berpermulaan sampai akhir yang tidak ada habisnya.

Pelajarilah baik-baik Loh ini, wahai Ahmad. Nyanyikanlahnya selama hari-harimu dan janganlah berpaling daripadanya. Kerana sesungguhnya, Tuhan telah menetapkan bagi dia yang menyanyikannya, ganjaran seratus orang syahid dan ibadah dalam kedua-dua alam. Kurnia ini Kami limpahkan kepadamu sebagai anugerah daripada pihak Kami dan rahmat daripada kehadiran Kami, supaya engkau termasuk mereka yang bersyukur.

Demi Tuhan! Barangsiapa yang berada dalam kesukaran atau kesengsaraan membaca Loh ini dengan ketulusan yang mutlak, Tuhan akan menghapuskan kedukaannya, menyelesaikan kesukarannya dan melenyapkan kesengsaraannya.

Sesungguhnya, Dia Yang Maha Pengasih, Maha Penyayang. Pujian bagi Tuhan, Raja sekalian alam.

 


English  
ភាសាខ្មែរ  
አማርኛ.  
Afrikaans  
Alaska Native  
American Indian  
Azərbaycan  
Bahasa Indonesia  
Bahasa Malaysia  
Bidayuh  
Bosanski  
Canadian Indigenous  
Català  
Cebuano  
Česky  
Chamorro  
Chichewa  
Corsica  
Cymraeg  
Daga  
Dansk  
Deutsch  
Dzongkha  
Eesti  
Español  
Esperanto  
Euskara  
Fiji  
Filipino  
Føroyar  
Français  
Frysk  
Hausa  
Hawaiian  
Hiri Motu  
Hrvatski  
Irish  
Íslenska  
Italiano  
Kabyle  
Kalaallisut  
Kiribati  
Kiswahili  
Kreyol Ayisyen  
Kuanua  
Kube  
Latviešu  
Lëtzebuergesch  
Lietuvių  
Luganda  
Magyar  
Malagasy  
Malti  
Māori  
Marshallese  
Melpa  
Montenegrin  
Nalik  
Namibia  
Nederlands  
Norsk  
Papiamentu  
Polski  
Português (BR)  
România  
Sámi  
Samoan  
Sarawak  
Sesotho  
Shqip  
Slovenščina  
Slovensky  
Sranan Tongo  
Srpski српски  
Suomi  
Svenska  
Tetum  
Tiếng Việt  
Tok Pisin  
Tongan  
Türkçe  
Türkmençe  
Tuvalu  
Vanuatu  
ελληνικά  
Беларускі  
български  
Кыргыз  
Монгол хэл  
Русский  
Тоҷикӣ  
Україна  
հայերեն  
اُردُو  
العربية  
فارسی  
नेपाली  
मराठी  
हिंदी  
বাংলা  
ગુજરાતી  
ଓଡ଼ିଆ  
தமிழ்  
తెలుగు  
ಕನ್ನಡ  
മലയാളം  
ภาษาไทย  
ພາສາລາວ  
한국어  
日本語  
简体中文  
繁體中文  
Windows / Mac