Return to BahaiPrayers.net
Facebook
LOH ZIARAH
(Doa ini dibaca di Makam Bahá’u’lláh dan Báb. Ia juga digunakan untuk memperingati hari-hari ulangtahun Mereka.)
Pujian yang berasal daripada Diri-Mu Sendiri Yang Maha Luhur, dan kemuliaan yang telah bersinar daripada Keindahan-Mu yang maha cemerlang, terletak pada-Mu, Ya Engkau, Penjelmaan Keagungan, dan Raja Keabadian, dan Tuhan segala yang ada di langit dan di bumi! Aku naik saksi bahawa melalui Engkau, kedaulatan Tuhan dan kekuasaan-Nya, serta keagungan Tuhan dan kebesaran-Nya, telah dinyatakan, dan Suria-Suria kecemerlangan purba telah memancarkan sinar-Nya di langit perintah-Mu yang berdaulat dan Keindahan Yang Ghaib telah bersinar di atas ufuk alam ciptaan. Selain daripada itu, aku naik saksi, bahawa hanya dengan satu gerak Pena-Mu, maka perintah "Kun" daripada-Mu telah terlaksana dan Rahsia Tuhan yang tersembunyi telah terbuka, dan segala yang diciptakan telah dihidupkan, dan semua Wahyu diturunkan.
jadilah
Aku naik saksi, selain itu, bahawa melalui keindahan-Mu maka keindahan Yang Dipuja telah terbuka, dan kerana wajah-Mu maka wajah Dia Yang Dihasrati bersinar, dan melalui satu kata daripada-Mu, Engkau telah menentukan antara segala makhluk, dengan demikian menyebabkan mereka yang mengabdi kepada-Mu untuk naik ke puncak kemuliaan dan mereka yang kafir jatuh ke dalam jurang yang serendah-rendahnya.
Aku naik saksi bahawa barangsiapa yang telah mengenal Engkau telah mengenal Tuhan, dan barangsiapa yang telah mencapai kehadiran-Mu telah mencapai kehadiran Tuhan. Oleh sebab itu diberkatilah dia yang telah percaya kepada-Mu, dan akan tanda-tanda-Mu, dan telah merendahkan dirinya di hadapan kedaulatan-Mu, dan telah mendapatkan kehormatan bertemu dengan-Mu, dan telah mencapai keredaan kehendak-Mu, dan mengelilingi di sekitar-Mu dan berdiri di hadapan singgahsana-Mu. Dilaknatilah dia yang telah melawan perintah-Mu, dan telah menyangkal Engkau, dan mengingkari tanda-tanda-Mu, dan membantah kedaulatan-Mu, dan bangkit menentang Diri-Mu, dan menjadi sombong di hadapan wajah-Mu, dan telah mempertikaikan bukti-bukti-Mu, dan lari daripada kekuasaan-Mu dan kerajaan-Mu, dan telah termasuk bilangan mereka yang kafir yang nama-namanya telah ditulis oleh jari perintah-Mu dalam Loh-Loh-Mu yang suci.
Hembuskanlah kepadaku, Ya Tuhanku dan Kekasihku, daripada tangan kanan kemurahan-Mu dan kasih sayang-Mu, nafas suci rahmat-Mu agar ia dapat menarik daku jauh daripada diriku dan daripada dunia ke arah istana kedekatan-Mu dan kehadiran-Mu. Sesungguhnya, Engkaulah Yang menguasai segala sesuatu.
Pengingatan kepada Tuhan dan pujian-Nya, dan kemuliaan Tuhan dan kecemerlangan-Nya, terletak pada-Mu, Ya Engkau yang menjadi Keindahan-Nya! Aku naik saksi bahawa mata alam ciptaan belum pernah melihat orang yang diperlakukan tidak adil seperti Engkau. Engkau telah ditenggelamkan selama keseluruhan hidup-Mu ke dalam samudera kesengsaraan. Pada suatu masa Engkau telah dibelenggu dan dirantai; dan pada masa yang lain Engkau diancam oleh pedang musuh-musuh-Mu. Walaupun demikian, Engkau telah memerintahkan kepada semua agar melaksanakan apa yang telah ditetapkan kepada-Mu oleh Dia, Yang Maha Tahu, Yang Maha Arif.
Semoga rohku menjadi korban bagi perlakuan-perlakuan tak adil yang Engkau deritai, dan jiwaku menjadi penebus kesengsaraan yang telah Engkau alami. Aku memohon kepada Tuhan, demi Engkau dan demi mereka yang wajah-wajahnya telah diterangi oleh kecemerlangan cahaya wajah-Mu dan yang telah melaksanakan semua yang diperintahkan kepada mereka demi cinta kepada-Mu, agar menghapuskan tabir yang menghalang Engkau dan makhluk-makhluk-Mu, dan menganugerahiku dengan kebaikan dunia ini dan akhirat. Engkau, sesungguhnya, Yang Maha Kuat, Yang Maha Luhur, Yang Maha Mulia, Yang Maha Pengampun, Yang Maha Pengasih.
Berkatilah, Ya Tuhan, Tuhanku, Sidratul Muntaha dan daun-daun-Nya dan ranting-ranting-Nya dan cabang-cabang-Nya, dan batang-batang-Nya, dan tunas-tunas-Nya, selagi berlangsungnya gelaran-Mu yang maha luhur dan sifat-sifat-Mu yang tertinggi. Maka, lindungilah semuanya itu daripada kekejaman para penyerang dan bala tentera kezaliman. Sesungguhnya, Engkaulah Yang Maha Besar, Yang Maha Kuasa.
Berkatilah lagi, Ya Tuhan, Tuhanku, hamba-hamba-Mu dan dayang-dayang-Mu yang telah mencapai-Mu. Sesungguhnya, Engkau adalah Yang Maha Dermawan, Yang Kurnia-Nya tak terbatas. Tiada Tuhan melainkan Engkau, Yang Maha Pengampun, Yang Maha Dermawan.
- Bahá'u'lláh