Return to BahaiPrayers.net
Facebook
LOH API
(Loh yang diwahyukan oleh Bahá'u'lláh yang bertajuk ‘Qad Ihtaraqa’l-Mukhlisun’)
Atas Nama Tuhan, Yang Maha Purba, Yang Maha Agung.
Sesungguhnya kalbu-kalbu mereka yang ikhlas telah terbakar dalam api perpisahan: Di manakah pancaran cahaya Wajah-Mu, Ya Kekasih alam semesta?
Mereka yang dekat kepada-Mu telah ditinggalkan dalam kegelapan kemusnahan: Di manakah sinaran pagi penyatuan semula dengan-Mu, Ya Hasrat alam semesta?
Tubuh orang-orang pilihan-Mu terbaring menggeletar di atas gurun yang jauh: Di manakah samudera hadirat-Mu, Ya Pesona alam semesta?
Tangan-tangan kerinduan sedang diangkat ke arah langit kurnia dan kedermawanan-Mu: Di manakah hujan anugerah-Mu, Ya Penjawab alam semesta?
Orang-orang kafir telah bangkit dengan kezaliman dari setiap penjuru: Di manakah kekuasaan pena takdir-Mu yang menakluki, Ya Penakluk alam semesta?
Salakan anjing terdengar kuat dari setiap arah: Di manakah singa dari hutan kekuatan-Mu, Ya Penghukum alam semesta?
Kedinginan telah mencengkam semua manusia: Di manakah kehangatan cinta-Mu, Ya Api alam semesta?
Malapetaka telah mencapai kemuncaknya: Di manakah tanda-tanda pertolongan-Mu, Ya Penyelamat alam semesta?
Kegelapan telah meliputi kebanyakan bangsa: Di manakah sinaran kecemerlangan-Mu, Ya Kecemerlangan alam semesta?
Leher semua manusia telah ditegakkan dengan penuh kedengkian: Di manakah pedang-pedang pembalasan-Mu, Ya Pemusnah alam semesta?
Penghinaan telah mencapai kedalaman yang paling teruk: Di manakah lambang-lambang kemuliaan-Mu, Ya Kemuliaan alam semesta?
Dukacita telah melanda Pewahyu Nama-Mu, Yang Maha Pengasih: Di manakah keriangan Tempat Terbit Wahyu-Mu, Ya Kesenangan alam semesta?
Kesengsaraan telah menimpa semua bangsa di bumi: Di manakah panji-panji kegembiraan-Mu, Ya Keriangan alam semesta?
Engkau melihat Tempat Terbit tanda-tanda-Mu diselubungi bisikan-bisikan jahat: Di manakah jari-jari keperkasaan-Mu, Ya Kekuasaan alam semesta?
Kehausan yang teramat telah menguasai semua manusia: Di manakah sungai kurnia-Mu, Ya Rahmat alam semesta?
Ketamakan telah mencengkam semua manusia: Di manakah penjelmaan ketakterikatan, Ya Tuhan alam semesta?
Engkau melihat Orang Yang Diperlakukan Tidak Adil ini bersendirian dalam pengasingan: Di manakah angkatan-angkatan syurga Perintah-Mu, Ya Pemerintah alam semesta?
Aku telah ditinggalkan bersendirian di negeri yang asing: Di manakah lambang-lambang kesetiaan-Mu, Ya Kesetiaan alam semesta?
Seksaan-seksaan maut telah menguasai semua manusia: Di manakah gelora samudera kehidupan abadi-Mu, Ya Kehidupan alam semesta?
Bisikan-bisikan Syaitan telah ditiupkan kepada setiap makhluk: Di manakah meteor api-Mu, Ya Cahaya alam semesta?
Kemabukan hawa nafsu telah menyesatkan kebanyakan manusia: Di manakah fajar-fajar kesucian, Ya Hasrat alam semesta?
Engkau melihat Orang Yang Diperlakukan Tidak Adil ini diselubungi dalam kezaliman di antara orang-orang Syria: Di manakah kecemerlangan cahaya fajar-Mu, Ya Cahaya alam semesta?
Engkau melihat Daku dilarang bersabda: Jika begitu, dari manakah akan muncul lagu-lagu-Mu, Ya Bulbul alam semesta?
Kebanyakan orang diselubungi khayalan dan angan-angan kosong: Di manakah pendukung-pendukung keyakinan-Mu, Ya Jaminan alam semesta?
Baha sedang tenggelam dalam lautan kesengsaraan: Di manakah Bahtera keselamatan-Mu, Ya Penyelamat alam semesta?
Engkau melihat Tempat Terbit ucapan-Mu dalam kegelapan alam ciptaan: Di manakah suria syurga kurnia-Mu, Ya Pemberi Cahaya alam semesta?
Lampu-lampu kebenaran dan kemurnian, kesetiaan dan kehormatan, telah dipadamkan: Di manakah tanda-tanda pembalasan kemurkaan-Mu, Ya Penggerak alam semesta?
Dapatkah Engkau melihat seorangpun yang menolong Engkau Sendiri, atau yang merenungkan apa yang telah menimpa-Nya dalam jalan cinta-Mu? Kini pena-Ku berhenti, Ya Kekasih alam semesta.
Dahan-dahan Sidratul Muntaha sudah sekah oleh angin kencang nasib yang menderu: Di manakah panji-panji pertolongan-Mu, Ya Pembela alam semesta?
Wajah ini tersembunyi dalam debu fitnah: Di manakah bayu-bayu rahmat-Mu, Ya Pengasih alam semesta?
Jubah kekudusan telah dinodai oleh orang-orang pendusta: Di manakah perhiasan kesucian-Mu, Ya Penghias alam semesta?
Lautan kurnia terdiam akibat apa yang telah diperbuat oleh tangan-tangan manusia: Di manakah gelombang-gelombang anugerah-Mu, Ya Hasrat alam semesta?
Pintu yang menuju ke Hadirat Ilahi telah terkunci kerana kezaliman musuh-musuh-Mu: Di manakah kunci kurnia-Mu, Ya Pembuka alam semesta?
Daun-daun menguning oleh angin-angin hasutan yang beracun: Di manakah curahan awan-awan kurnia-Mu, Ya Penganugerah alam semesta?
Alam semesta digelapkan oleh debu dosa: Di manakah bayu-bayu pengampunan-Mu, Ya Pengampun alam semesta?
Pemuda ini kesepian di negeri terpencil: Di manakah hujan rahmat syurgawi-Mu, Ya Penganugerah alam semesta?
Wahai Pena Agung, Kami telah mendengar panggilan-Mu yang paling merdu dalam alam baka:
Dengarkanlah oleh-Mu apa yang Lidah Kebesaran sabdakan, Ya Engkau Yang Diperlakukan Tidak Adil alam semesta!
Seandainya tiada kedinginan, bagaimanakah kehangatan kalimat-Mu akan menyerlah, Ya Pesuruh alam semesta?
Seandainya tiada malapetaka, bagaimanakah matahari kesabaran-Mu bersinar, Ya Cahaya alam semesta?
Jangan meratap kerana orang-orang jahat, Engkau diciptakan untuk bersabar dan tabah, Ya Kesabaran alam semesta.
Alangkah manisnya terbit-Mu di atas ufuk Waadat antara penghasut kederhakaan, dan kerinduan-Mu kepada Tuhan, Ya Cinta alam semesta.
Demi Engkau panji kemerdekaan telah ditegakkan di atas puncak-puncak tertinggi, dan lautan kurnia telah bergelombang, Ya Pesona alam semesta.
Demi ketunggalan-Mu Suria Keesaan telah bersinar, dan demi pembuangan negeri-Mu Kesatuan telah dihiasi. Bersabarlah, Ya Orang Buangan alam semesta.
Kami telah menjadikan penghinaan sebagai pakaian kemuliaan, dan penderitaan sebagai perhiasan tubuh-Mu, Ya Kebanggaan alam semesta.
Engkau melihat kalbu-kalbu penuh dengan kebencian, dan untuk memaafkan adalah sifat-Mu, Ya Penutup dosa-dosa alam semesta.
Apabila pedang-pedang diradak, maralah ke depan! Apabila anak-anak panah terbang meluncur, teruslah maju! Ya Engkau Korban alam semesta.
Apakah Engkau meratap, atau Aku yang akan meratap? Malah Aku akan menangis kerana sedikitnya para pembela-Mu, Ya Engkau yang menyebabkan ratapan alam semesta.
Sesungguhnya, Aku telah mendengar Panggilan-Mu, Ya Kekasih Yang Maha Mulia; dan kini wajah Bahá bernyala dengan kepanasan kesengsaraan dan dengan api firman-Mu yang bercahaya dan Dia telah bangkit dengan kesetiaan di medan pengorbanan, memandang ke arah keredaan-Mu, Ya Pentakdir alam semesta.
Wahai Ali-Akbar, berterima kasihlah kepada Tuhan-Mu atas Loh ini, kerana engkau telah menghirup keharuman kelembutan hati-Ku dan mengetahui apa yang telah menimpa Kami di jalan Tuhan, Sang Pujaan alam semesta.
Seandainya semua hamba membaca dan merenungkan ini, maka dalam urat darah mereka akan berkobar api yang akan menyalakan alam semesta.
- Bahá'u'lláh