Diluhurkanlah dan dimuliakanlah Engkau, Ya Tuhanku! Aku memohon kepada-Mu demi keluh-kesah kekasih-Mu dan demi air mata yang dititiskan oleh mereka yang rindu untuk melihat-Mu, agar jangan menjauhkan daku daripada rahmat-Mu yang mesra pada Hari-hari-Mu, dan jangan pula menghalang daku daripada lagu-lagu Merpati yang memuji keesaan-Mu di hadapan cahaya yang bersinar daripada wajah-Mu. Akulah yang sengsara, Ya Tuhan! Lihatlah daku berpegang teguh kepada Nama-Mu, Yang Maha Memiliki. Akulah yang pasti akan musnah; lihatlah daku berpegang kuat kepada Nama-Mu, Yang Tak Dapat Dimusnahkan. Maka aku memohon kepada-Mu, demi Dirimu Sendiri, Yang Maha Luhur, Yang Maha Tinggi, agar janganlah membiarkan daku kepada diriku sendiri dan kepada nafsu-nafsu kecenderungan jahat. Peganglah tanganku dengan tangan kekuasaan-Mu, dan selamatkanlah daku daripada kedalaman khayalan-khayalan dan angan-angan kosong, serta bersihkanlah daku daripada segala sesuatu yang tidak disukai oleh-Mu.
Maka, sebabkanlah daku menghadap sepenuhnya kepada-Mu, dengan meletakkan kepercayaanku sepenuhnya pada-Mu, untuk mencari-Mu sebagai Perlindunganku, dan untuk bergegas kepada wajah-Mu. Sesungguhnya, Engkaulah Dia yang berbuat apa yang Dia kehendaki melalui kekuatan kekuasaan-Nya dan memerintahkan apa sahaja yang Dia tentukan melalui kekuatan kehendak-Nya. Tiada sesiapa pun yang dapat menahan operasi perintah-Mu; tiada sesiapa pun yang dapat mengubah apa yang Engkau tetapkan. Sesungguhnya, Engkaulah Maha Kuasa, Yang Maha Mulia, Yang Maha Rahim.
- Bahá'u'lláh
Dimuliakanlah Engkau, Ya Tuhanku! Jika bukan kerana kesukaran yang telah ditahan dalam jalan-Mu, bagaimanakah pencinta sejati-Mu dapat ditemui; dan jika tidak kerana cubaan-cubaan yang ditanggung demi cinta kepada-Mu, bagaimanakah kedudukan mereka yang menginginkan Engkau dapat ditonjolkan? Kekuatan-Mu menjadi saksiku! Yang menemani kesemua mereka yang menyanjungi-Mu adalah titisan air mata yang telah ditangisi, dan penenang untuk mereka yang mencari-Mu adalah rintihan yang diucapkan mereka, dan makanan bagi mereka yang segera menemui-Mu adalah serpihan hati mereka yang telah berkecai.
Betapa manisnya bagi deriaku adalah kepahitan kematian yang dideritai dalam jalan-Mu, dan betapa berharganya nilaiku adalah serangan musuh-musuh-Mu apabila dihadapi demi mengunggulkan kalimat-Mu! Biarkanlah daku minum dalam Akidah-Mu, Ya Tuhanku, apa sahaja yang Engkau kehendaki, dan turunkanlah kepadaku melalui cinta-Mu semua yang Engkau kurniai. Demi keagungan-Mu! Aku hanya mengharapkan apa yang Engkau ingini, dan menyintai apa yang Engkau cintai. Pada-Mu aku telah, pada setiap waktu, meletakkan keseluruhan kepercayaan dan keyakinanku.
Bangkitkanlah, aku merayu kepada-Mu, Ya Tuhanku, pembantu-pembantu kepada Wahyu ini sehingga dapat dikenali sebagai layak untuk nama-Mu dan kedaulatan-Mu, agar mereka dapat mengingatiku dalam kalangan ciptaan-Mu, dan menaikkan panji-panji kemenangan-Mu di bumi-Mu.
Berkuasalah Engkau untuk melakukan apa yang Engkau redai. Tiada Tuhan melainkan Engkau, Penolong dalam Bencana, Yang Berdiri Sendiri.
- Bahá'u'lláh
Hilangkanlah duka laraku dengan rahmat-Mu dan kedermawanan-Mu, Ya Tuhan, Tuhanku, dan hapuskanlah kesengsaraanku melalui kedaulatan-Mu dan kekuatan-Mu. Engkau melihatku, Ya Tuhanku, dengan wajahku memaling kepada-Mu apabila kesedihan mengelilingiku dari semua penjuru. Aku memohon kepada-Mu, Ya Engkau Yang adalah Tuhan sekalian makhluk, dan melindungi semua benda yang kelihatan mahupun yang ghaib, demi Nama-Mu dengannya Engkau telah menakluki kalbu-kalbu dan jiwa-jiwa manusia, dan demi gelombang Samudera rahmat-Mu dan kecemerlangan Suria anugerah-Mu, untuk memasukkan daku dalam kalangan mereka yang tiada apa pun yang dapat menghalang mereka daripada memalingkan wajah mereka kepada-Mu, Ya Engkau Tuhan segala nama dan Pencipta syurga.
Engkau melihat, Ya Tuhanku, hal-hal yang telah menimpa diriku pada hari-hari-Mu. Aku memohon kepada-Mu, demi Dia Yang adalah Sumber nama-nama-Mu dan Tempat Terbit sifat-sifat-Mu, untuk menurunkan kepadaku apa yang akan membolehkan daku untuk bangkit mengabdi kepada-Mu dan memuji sifat-sifat murni-Mu. Sesungguhnya, Engkaulah Yang Maha Kuat, Yang Maha Berkuasa, Yang akan menjawab doa-doa semua manusia!
Dan akhirnya, aku merayu kepada-Mu demi cahaya wajah-Mu untuk memberkati hal ehwalku, dan melangsaikan hutang-hutangku, dan memuaskan keperluan-keperluanku. Engkaulah Dia yang kekuasaan-Nya dan kerajaan-Nya setiap lidah menjadi saksi, dan keagungan-Nya dan kedaulatan-Nya setiap kalbu yang memahami telah mengakui. Tiada Tuhan melainkan Engkau, Yang mendengar dan bersedia untuk menjawab.
- Bahá'u'lláh
Ya Engkau Yang cubaan-cubaan-Nya adalah ubat penyembuh bagi mereka yang dekat kepada-Mu, Yang pedang-Nya adalah hasrat terdalam bagi semua mereka yang mencintai-Mu, Yang anak panah-Nya adalah keinginan tertinggi bagi kalbu-kalbu mereka yang merindui-Mu, Yang perintah-Nya adalah satu-satunya harapan bagi mereka yang telah mengenal kebenaran-Mu! Aku memohon kepada-Mu demi kemanisan ilahi-Mu dan demi kecemerlangan kemuliaan wajah-Mu, agar menurunkan kepada kami dari tempat tinggal-Mu yang tinggi, apa yang akan membolehkan kami untuk mendekati-Mu. Maka Ya Tuhanku, teguhkanlah langkah-langkah kami dalam Akidah-Mu, dan sinarilah kalbu-kalbu kami dengan kecemerlangan ilmu-Mu, dan terangilah dada kami dengan kegemilangan nama-nama-Mu.
- Bahá'u'lláh
”Dalam segala sesuatu ada tandanya. Tanda kasih adalah keteguhan hati di bawah perintah-Ku dan kesabaran di bawah cubaan-cubaan-Ku.”
”Jikalau kesengsaraan tidak menimpa dirimu di jalan-Ku, bagaimanakah engkau dapat berjalan di jalan mereka yang berpuas dengan keredaan-Ku? Jikalau cubaan-cubaan tidak menimpa dirimu dalam kerinduanmu untuk bertemu dengan-Ku, bagaimanakah engkau akan mencapai cahaya dalam cintamu kepada keindahan-Ku?”
”Jikalau kemakmuran datang kepadamu, janganlah bergembira, dan jikalau penghinaan menimpa dirimu, janganlah berduka, kerana kedua-duanya akan berlalu dan tidak ada lagi.”
- Bahá'u'lláh
Aku merayu kepada-Mu demi kekuatan-Mu, Ya Tuhanku! Janganlah membiarkan kecelakaan menimpa diriku pada masa-masa cubaan, dan pada detik-detik kelalaian bimbingilah langkah-langkahku agar betul melalui ilham-Mu. Engkaulah Tuhan, berkuasalah Engkau untuk melakukan apa yang Engkau hasratkan. Tiada lain yang dapat menahan kehendak-Mu atau menggagalkan tujuan-Mu.
- The Báb
Ya Tuhan! Engkaulah Penghapus setiap kesengsaraan dan Penghalau setiap penderitaan. Engkaulah Dia Yang membuang setiap kesedihan dan membebaskan setiap hamba abdi, Penebus setiap roh. Ya Tuhan! Berikanlah penyelamatan melalui belas kasihan-Mu, dan tetapkanlah daku dalam kalangan hamba-Mu yang telah memperoleh keselamatan.
- The Báb
Ya Tuhanku! Engkau ketahui bahawa manusia dikelilingi dengan kesakitan dan malapetaka dan dihadapi kesukaran dan kesusahan. Setiap ujian menyerang manusia dan setiap kecelakaan dahsyat menyerangnya bagaikan serangan seekor ular. Tidak ada pelindung mahupun keselamatan baginya kecuali di bawah sayap perlindungan, pemeliharaan, pertahanan dan jagaan-Mu.
Ya Engkau Yang Rahim! Ya Tuhanku! Jadikanlah perlindungan-Mu perisaiku, pemeliharaan-Mu pelindungku, rendah hati di hadapan pintu keesaan-Mu penjagaku, dan kawalan dan pertahanan-Mu kubu dan kediamanku. Lindungilah daku daripada bisikan-bisikan keakuan dan hawa nafsu, dan pertahankanlah daku daripada setiap penyakit, ujian, kesukaran dan cubaan.
Sesungguhnya, Engkaulah Pelindung, Penjaga, Pemelihara, Pencukup, dan sesungguhnya Engkaulah Yang Rahim kepada Yang Maha Rahim!
- `Abdu'l-Bahá
*”Janganlah bersedih atas penderitaan dan bencana yang telah menimpa dirimu. Semua bencana dan penderitaan telah diciptakan bagi manusia agar dia menolak dunia yang fana ini, iaitu dunia yang sangat dicintainya. Ketika manusia mengalami cubaan dan kesukaran yang hebat, barulah jiwanya akan mundur daripada keduniawian dan dia akan menginginkan Kerajaan Abadi, iaitu Kerajaan yang disucikan daripada semua penderitaan dan bencana.”
- `Abdu'l-Bahá