Dibesarkanlah nama-Mu, Ya Tuhanku, kerana Engkau telah menjelmakan Hari yang merupakan Raja Segala Hari, Hari yang telah Engkau umumkan kepada Orang-orang pilihan-Mu dan para Nabi-Mu dalam Loh-Loh-Mu yang unggul, Hari yang mana Engkau telah memancarkan cahaya kemuliaan segala nama-Mu pada semua yang diciptakan. Besarlah berkatnya barangsiapa yang telah mengarahkan dirinya kepada-Mu, dan telah memasuki kehadiran-Mu dan mendengar nada suara-Mu.
Aku memohon kepada-Mu, Ya Tuhanku, demi nama Dia, yang di sekeliling-Nya kerajaan nama-nama-Mu dalam pemujaannya berkitar, agar sudilah Engkau membantu mereka yang Engkau cintai, untuk memuliakan kalimat-Mu antara hamba-hamba-Mu dan menyebarkan ke merata tempat pujian-Mu dalam kalangan makhluk-makhluk-Mu, agar kebahagiaan wahyu-Mu dapat mengisi roh semua penghuni bumi-Mu.
Kerana Engkau telah membimbing mereka, Ya Tuhanku, ke samudera kehidupan rahmat-Mu, janganlah mereka dijauhkan daripada-Mu demi rahmat-Mu dan kerana Engkau telah memanggil mereka ke tempat duduk takhta-Mu, maka janganlah mengusirkan mereka daripada kehadiran-Mu melalui kasih sayang-Mu. Turunkanlah kepada mereka apa yang akan membuat mereka tak terikat sepenuhnya daripada segala sesuatu kecuali Engkau dan membolehkan mereka untuk terbang ke angkasa kedekatan-Mu, sedemikian rupa sehingga tiada kekuasaan para penindas mahupun bisikan-bisikan mereka yang tak beriman kepada Dirimu Yang Maha Mulia dan Maha Perkasa, dapat menjauhkan mereka daripada-Mu.
- Bahá'u'lláh
Pujian bagi-Mu, Ya Tuhan, Tuhanku! Aku memohon kepada-Mu demi Nama-Mu yang tak seorang pun layak mengenali, dan yang maksud-Nya tak ada sebarang jiwa pun mengerti; aku memohon kepada-Mu, demi Dia Yang adalah Sumber Wahyu-Mu dan Fajar tanda-tanda-Mu, agar menjadikan hatiku sebagai wadah cinta-Mu dan penuh pengingatan kepada-Mu. Maka hubungkanlah ia kepada Samudera-Mu yang maha besar, agar daripadanya akan mengalir air kehidupan kearifan-Mu dan sungai-sungai jernih kemuliaan dan pujian-Mu.
Anggota-anggota badanku naik saksi kepada keesaan-Mu, dan rambut di kepalaku mengumumkan kuasa kedaulatan dan kekuatan-Mu. Aku telah berdiri di pintu kurnia-Mu dengan melupakan diri sepenuhnya dan penuh pengorbanan diri, dan berpegang teguh pada jubah rahmat-Mu, dan menetapkan mataku pada ufuk pemberian-Mu.
Takdirkanlah bagiku, Ya Tuhanku, apa yang layak bagi kebesaran keagungan-Mu, dan bantulah daku dengan rahmat-Mu yang menguatkan, untuk mengajar Akidah-Mu sehingga mereka yang mati akan segera bangkit daripada kuburnya, dan bersegera menuju ke arah-Mu, dengan meletakkan kepercayaan mereka sepenuhnya kepada-Mu, dan menetapkan pandangan mereka ke arah Akidah-Mu dan Tempat Terbit Wahyu-Mu. Sesungguhnya, Engkaulah Yang Maha Kuasa, Yang Maha Tinggi, Yang Maha Tahu, Yang Maha Arif.
- Bahá'u'lláh
Dimuliakanlah nama-Mu, Ya Tuhan, Tuhanku! Engkau melihat bagaimana pandanganku telah diarahkan pada rahmat-Mu yang mesra, dan bagaimana mataku dipusatkan pada ufuk kurnia-Mu, dan kasih sayang-Mu, dan bagaimana tanganku dihulurkan ke syurga pemberian-Mu. Kekuatan-Mu menjadi saksiku! Setiap anggota badanku merayu kepada-Mu dan mengatakan: "Ya Engkau yang adalah Kekasih seluruh alam, dan Raja segala yang ada di syurga dan di bumi, dan satu-satunya Hasrat bagi kalbu-kalbu yang mencintai Engkau! Aku memohon kepada-Mu, demi Samudera-Mu di mana Engkau telah memanggil para penghuni syurga dan para penduduk di bumi, untuk membantu hamba-hamba-Mu yang telah dihalangi dari menghadap kepadanya dan mendekati pantainya. Oleh sebab itu, Ya Tuhanku, jadikanlah mereka tak terikat kepada segala sesuatu kecuali Engkau dan bolehkanlah mereka mengucapkan pujian kepada-Mu dan menjunjung tinggi sifat-sifat-Mu. Selain daripada itu, Ya Tuhanku, berilah mereka Wain terpilih daripada kurnia-Mu, agar dapat menyebabkan mereka melupakan sesiapa pun kecuali Engkau dan agar dapat bangkit mengabdi kepada Akidah-Mu dan tetap teguh dalam cinta mereka kepada-Mu. Sesungguhnya, Engkau Raja kehidupan mereka dan Tujuan pemujaan mereka. Jika mereka diusir oleh-Mu, siapakah yang akan memelihara mereka; dan jika mereka dijauhkan daripada-Mu, siapakah yang dapat menolong mereka untuk mendekati Kehadiran-Mu? Aku bersumpah demi kekuatan-Mu! Tiada tempat untuk berlindung kecuali Engkau, dan tiada naungan yang dicari kecuali naungan-Mu, dan tidak ada perlindungan kecuali perlindungan-Mu. Malang akan menimpa dia yang telah menjadikan sesiapa pun sebagai Tuhan selain Engkau dan diberkatilah mereka yang telah menjauhkan diri daripada segala ikatan kepada semua penduduk bumi-Mu dan melekat pada jubah kedermawanan-Mu. Inilah! umat Bahá, di hadapan semua yang ada di syurga dan semua yang ada di bumi. Tiada Tuhan kecuali Engkau, Yang Maha Tahu, Yang Maha Arif."
Segala pujian bagi Tuhan, Raja sekalian alam.
- Bahá'u'lláh
Dimuliakanlah Engkau, Ya Raja dunia dan Hasrat segala bangsa, Ya Engkau Yang telah dijelmakan dalam Nama Teragung, melaluinya mutiara-mutiara kearifan dan ujaran telah muncul daripada kerang-kerangan dari samudera kebesaran pengetahuan-Mu, dan syurga-syurga revelasi ketuhanan telah dihiasi cahaya kemunculan suria wajah-Mu.
Aku merayu kepada-Mu, demi Kalimat yang melaluinya bukti-bukti-Mu disempurnakan dalam kalangan makhluk-makhluk-Mu dan testimoni-Mu telah ditunaikan dalam kalangan hamba-hamba-Mu, untuk memperkuatkan orang-orang-Mu dalam mana wajah Akidah akan menyinari kerajaan-Mu, standard-standard kuasa-Mu akan ditanam dalam kalangan hamba-hamba-Mu, dan panji-panji bimbingan-Mu akan dinaikkan di semua kerajaan-Mu.
Ya Tuhanku! Engkau melihat mereka yang berpaut pada tali kurnia-Mu dan berpegang erat pada kelim jubah kedermawanan-Mu. Kurniakanlah kepada mereka apa yang akan menarik mereka lebih dekat kepada-Mu, dan menahan mereka daripada segala sesuatu kecuali Engkau.
Aku merayu kepada-Mu, Ya Engkau Raja kewujudan dan Pelindung apa yang dapat dilihat dan tersembunyi, untuk menjadikan barangsiapa yang bangkit untuk mengabdi kepada Akidah-Mu sebagai satu lautan yang digerakkan oleh hasrat-Mu, sebagai orang yang bersemarak dengan api daripada Pohon Suci-Mu, bersinar daripada ufuk syurga kehendak-Mu. Sesungguhnya, Engkaulah Yang kuat, Yang tak dapat dilemahkan oleh kuasa di semua dunia mahupun kekuatan segala bangsa. Tidak ada Tuhan melainkan Engkau, Yang Esa, Yang Tak Terbanding, Sang Pelindung, Yang Berdiri Sendiri.
- Bahá'u'lláh
Ya Tuhan, Engkaulah Pencipta semua Manifestasi, Sumber kepada segala Sumber, Sumber segala Wahyu, dan Sumber segala Cahaya! Aku naik saksi bahawa dengan Nama-Mu syurga pengertian telah dihiasi, dan samudera ujaran telah bergelora, dan dispensasi-dispensasi pemeliharaan-Mu telah diumumkan kepada semua pengikut segala agama.
Aku memohon kepada-Mu untuk memperkaya daku agar aku dapat mengetepikan semua benda kecuali Engkau, dan dijadikan berdikari daripada sesiapa pun kecuali Engkau Sendiri. Lalu, turunkanlah hujan ke atas daku daripada awan-awan rahmat-Mu apa yang akan menguntungkan daku di setiap alam daripada alam-alam-Mu. Kemudian, bantulah daku melalui kurnia penguatan-Mu, agar dapat mengabdi kepada Akidah-Mu dalam kalangan hamba-Mu supaya aku dapat menunjukkan apa yang akan menyebabkan daku diingati selagi kerajaan-Mu abadi dan kedaulatan-Mu kekal.
Hamba-Mu ini, Ya Tuhanku, yang dengan seluruh kewujudannya telah berpaling ke ufuk rahmat-Mu, dan samudera kurnia-Mu, dan syurga pemberian-Mu. Tetapkan bagiku apa yang sesuai dengan kebesaran-Mu, dan kemuliaan-Mu, dan kerahmatan-Mu, dan kurnia-Mu.
Sesungguhnya, Engkau adalah Tuhan kekuatan dan kekuasaan, Yang layak untuk menjawab kepada mereka yang berdoa kepada-Mu. Tiada Tuhan melainkan Engkau, Yang Maha Tahu, Yang Maha Arif.
- Bahá'u'lláh
Katakanlah: Dibesarkanlah Nama-Mu, Ya Tuhan, Tuhanku! Aku memohon kepada-Mu demi Nama-Mu yang melaluinya kecemerlangan cahaya kearifan telah bersinari dengan penuh gemilang apabila syurga ujaran ilahi telah digerakkan dalam kalangan manusia, untuk membantuku melalui pengesahan syurgawi-Mu dan membolehkan daku untuk menyebarkan Nama-Mu dalam kalangan hamba-Mu.
Ya Tuhan! Kepada-Mu aku telah memalingkan wajahku, tak terikat daripada semua kecuali Engkau dan berpegang kuat pada kelim jubah berkat-Mu yang tak terhingga. Oleh itu, ringankanlah lidahku untuk mengumumkan apa yang akan menarik minda manusia dan akan meriangkan roh dan jiwa mereka. Lalu perkuatkanlah daku dalam Akidah-Mu agar aku tidak dihalang oleh kekuasaan penindas-penindas antara makhluk-Mu mahupun ditahan oleh serangan yang kafir dalam kalangan mereka yang tinggal di alam-Mu. Jadikanlah daku sebagai lampu yang bersinar di seluruh bumi-Mu agar mereka yang dalam kalbu mereka disinari cahaya pengetahuan-Mu dan kalbu yang wujudnya keinginan bagi cinta-Mu akan dibimbing oleh sinarannya.
Sesungguhnya, berkuasalah Engkau untuk melakukan apa yang Engkau kehendaki, dan dalam genggaman-Mu Engkau telah memerintah kerajaan ciptaan. Tiada Tuhan lain kecuali Engkau, Yang Maha Kuat, Yang Maha Arif.
- Bahá'u'lláh
”Demi kebenaran Tuhan! Barangsiapa yang membuka bibirnya pada Hari ini dan menyebut nama Tuhannya, maka angkatan tentera inspirasi Ilahi akan turun kepadanya dari langit nama-Ku, Yang Maha Tahu, Yang Maha Arif. Kepadanya akan turun juga Penghuni syurga, masing-masing menjulang obor cahaya murni.”
”Sumber keberanian dan kekuatan adalah memajukan Kalimat Tuhan, dan keteguhan hati dalam Cinta-Nya.”
- Bahá'u'lláh
Ya Tuhan! Ya Tuhan! Ini seekor burung yang patah sayapnya dan terbangnya sangat lambat—bantulah dia agar dia dapat terbang ke mercu kesejahteraan dan keselamatan, melayang dengan penuh keriangan dan kegembiraan di seluruh ruang yang tak terbatas, menyanyikan melodinya demi Nama-Mu Yang Tertinggi di seluruh wilayah, menggembirakan semua telinga dengan seruan ini, dan menerangi mata dengan memandang tanda-tanda bimbingan.
Ya Tuhan! Aku tunggal, keseorangan dan lemah. Bagiku tiada sokongan selain Engkau, tiada penolong kecuali Engkau dan tiada pembekal kecuali Engkau. Sahkanlah daku dalam pengabdian kepada-Mu, bantulah daku dengan angkatan malaikat-Mu, jadikanlah daku berjaya dalam menyebarkan Kalimat-Mu dan sebabkanlah daku mengumumkan kearifan-Mu dalam kalangan makhluk-makhluk-Mu. Sesungguhnya, Engkaulah penolong kepada yang lemah dan pembela bagi yang kerdil, dan sesungguhnya Engkaulah Yang Maha Berkuasa, Maha Kuat dan Yang Tak Terhalang.
- `Abdu'l-Bahá
Ya Engkau Tuhan Yang Tiada Bandingan! Ya Engkau Tuhan Kerajaan! Jiwa-jiwa ini adalah angkatan tentera syurgawi-Mu. Bantulah mereka, dan dengan sekumpulan Angkatan Tertinggi, jadikanlah mereka berjaya agar setiap daripada mereka dapat menjadi bagaikan satu rejimen dan menakluki negara-negara ini dengan cinta Tuhan dan kecemerlangan ajaran-ajaran ilahi.
Ya Tuhan! Jadilah Engkau Penyokong dan Penolong mereka; dan di gurun, di gunung, di lembah, di belantara, di padang rumput dan di laut, jadilah Engkau sahabat karib mereka—agar mereka dapat berteriak dengan kekuatan daripada Kerajaan dan nafas Roh Suci.
Sesungguhnya, Engkaulah Yang Maha Kuat, Yang Maha Perkasa dan Yang Maha Berkuasa dan Engkaulah Yang Maha Arif, Yang Mendengar, dan Yang Melihat.
- `Abdu'l-Bahá
Ya Tuhanku, bantulah Engkau hamba-hamba-Mu untuk meluhurkan Kalimat, dan untuk menafikan apa yang sia-sia dan palsu, untuk mendirikan kebenaran, untuk menyebarluaskan kalimat-kalimat suci, menjelmakan kecemerlangan, dan menjadikan cahaya pagi terbit daripada kalbu mereka yang salih.
Engkaulah, sesungguhnya, Pemurah, Pengampun.
- `Abdu'l-Bahá
Ya Tuhan, Tuhanku! Bantulah Engkau hamba-hamba-Mu yang dipercayai untuk memiliki hati yang penyayang dan lembut. Tolonglah mereka untuk menyebarkan, dalam kalangan semua bangsa di bumi, cahaya bimbingan yang datang daripada Angkatan di atas. Sesungguhnya, Engkaulah yang Kuat, Berkuasa, Perkasa, Segala Menakluki, Pemberi Sentiasa. Sesungguhnya, Engkaulah Pemurah, Lemah-Lembut, Ramah-Tamah, Yang Maha Rahim.
- `Abdu'l-Bahá
Engkau melihat daku, Ya Tuhanku, bersujud dengan penuh rendah hati, merendahkan diriku di hadapan perintah-Mu, menyerahkan diriku pada kedaulatan-Mu, menggeletar pada kekuatan kerajaan-Mu, melarikan diri daripada kemurkaan-Mu, memohon kurnia-Mu, bergantung kepada pengampunan-Mu, tergoncang dalam ketakutan pada kemarahan-Mu. Aku merayu kepada-Mu dengan hati yang berdebar-debar, dengan berlinangan air mata dan dengan jiwa yang merindui, dan dalam ketakterikatan yang penuh daripada semua benda, untuk menjadikan kekasih-kekasih-Mu sinaran cahaya menembusi kerajaan-Mu, dan untuk membantu hamba-hamba-Mu yang terpilih untuk menyanjungi Kalimat-Mu, agar wajah-wajah mereka dapat menjadi indah dan cemerlang dengan kegemilangan, agar kalbu mereka dipenuhi dengan misteri, dan agar setiap roh dapat melepaskan bebanan dosa. Kemudian peliharalah mereka daripada penyerang, daripada dia yang tiada perasaan malu dan pengkufur yang bersalah.
Sesungguhnya, para kekasih-Mu sedang dahaga, Ya Tuhanku; bimbinglah mereka kepada sumber air rahmat dan kurnia-Mu. Sesungguhnya, mereka sedang lapar; turunkanlah ke atas mereka jamuan syurgawi-Mu. Sesungguhnya, mereka tidak berpakaian; hiasilah mereka dengan pakaian ilmu pengetahuan.
Mereka adalah perwira, Ya Tuhanku, bimbinglah mereka ke medan perang. Mereka adalah pembimbing, bolehkanlah mereka berucap dengan hujah dan bukti. Mereka adalah penjaga hamba-hamba, sebabkanlah mereka untuk mengedarkan cawan yang melimpah dengan wain keyakinan. Ya Tuhanku, jadikanlah mereka penyair yang menyanyi di taman-taman indah, jadikanlah mereka singa yang bersantai di padang rumput, ikan paus yang menyelam di kedalaman samudera yang luas.
Sesungguhnya, Engkaulah Dia yang memiliki kurnia yang melimpah ruah. Tiada Tuhan lain kecuali Engkau, Yang Kuat, Yang Berkuasa, Pemberi Sentiasa.
- `Abdu'l-Bahá
Ya Tuhan! Bukakanlah Engkau pintu, sediakanlah caranya, berikanlah laluannya, jadikanlah jalan itu selamat, agar kami dapat dibimbing kepada roh-roh yang jiwa mereka bersedia untuk Akidah-Mu, dan agar mereka dapat dibimbing kepada kami. Sesungguhnya, Engkau adalah Rahim, Maha Kurnia, Segala Berkuasa.
- `Abdu'l-Bahá