Segala pujian bagi-Mu, Ya Tuhanku, Yang adalah Sumber segala kemuliaan dan keagungan, kebesaran dan kehormatan, kedaulatan dan kekuasaan, keluhuran dan kurnia, kekaguman dan kekuatan. Engkau menyebabkan sesiapa sahaja yang dikehendaki-Mu untuk mendekati Samudera Yang Maha Agung, dan pada sesiapa sahaja yang Engkau hasratkan, Engkau memberikan kehormatan untuk mengenali Nama-Mu Yang Maha Purba. Antara semua yang ada di langit dan di bumi, tiada seorang pun yang dapat menahan operasi Kehendak-Mu yang berdaulat. Sejak azali Engkau telah memerintah seluruh ciptaan, dan Engkau akan terus selama-lamanya melaksanakan kekuasaan-Mu ke atas segala yang tercipta. Tiada Tuhan lain kecuali Engkau, Yang Maha Kuat, Yang Maha Luhur, Yang Maha Kuasa, Yang Maha Arif.
Terangilah, Ya Tuhan, wajah hamba-hamba-Mu, agar mereka dapat melihat Engkau; dan bersihkanlah kalbu mereka agar mereka dapat berpaling ke istana pemberian-pemberian syurgawi, dan mengenal Dia Yang adalah Penjelmaan Dirimu Sendiri dan Tempat Terbit Inti-Mu. Sesungguhnya, Engkau adalah Tuhan segala alam. Tiada Tuhan lain kecuali Engkau, Yang Tak Terbatas, Yang Maha Menakluki.
- Bahá'u'lláh
Tuhanku, Pujaanku, Rajaku, Hasratku! Bahasa apakah yang dapat menyampaikan rasa syukurku kepada-Mu? Aku telah alpa, Engkau telah menyedarkanku. Aku telah berpaling daripada-Mu, Engkau telah membantuku agar berpaling kepada-Mu dengan rahmat-Mu. Aku bagaikan orang mati, Engkau telah menghidupkanku kembali dengan air kehidupan. Aku telah layu, Engkau telah menyegarkanku dengan sungai syurga ucapan-Mu yang telah mengalir daripada Pena Yang Maha Penyayang.
Ya Pemberi Ilahi! Segala kewujudan adalah kerana kemurahan-Mu; janganlah menjauhkannya daripada samudera kedermawanan-Mu, dan janganlah Engkau menahannya daripada samudera rahmat-Mu. Aku memohon kepada-Mu agar selalu menolong dan membantuku dalam segala keadaan, dan meminta kurnia-Mu yang purba dari langit kemurahan-Mu. Engkau adalah, sesungguhnya, Tuhan kerahmatan, dan Raja kerajaan abadi.
- Bahá'u'lláh