The Universal House of Justice
Ridván 2026
To the Bahá’ís of the World
Dearly loved Friends,
Kini bermulanya fasa kedua, fasa yang lebih hebat lagi dalam Rancangan Sembilan Tahun. Kami melihat komuniti Bahá’í global maju secara bersatu, yakin dengan penuh akan jalan yang ia telah terajui. Kejelasan dan keyakinannya tidak dapat dinafikan. Tidak gentar oleh pergolakan dunia yang semakin memuncak, ia tertumpu pada misinya yang suci. Kami bergembira terutamanya dalam melihat penganut-penganut yang baru disahkan dengan bersemangat sedang mengambil tempat mereka dalam lapangan khidmat dan tindakan, seiring dengan mereka yang sudah lama menganuti Akidah. Kluster-kluster batu penanda ketiga sedang membuktikan bahawa ia tanah yang subur dengan pengalaman kaya untuk dituai dan disebarkan. Dan kami senang hati melihat rakan-rakan di setiap tempat sedang merenung pada utusan yang telah kami hantar kepada para Kaunselor yang telah berkumpul di sini pada bulan Disember dan sedang memanfaatkan kandungan-kandungannya ketika mereka merancang dan bertindak.
Semangat penuh makna ini telah kelihatan ketara terutamanya dalam mesyuarat-mesyuarat institusi yang telah diadakan di serata dunia. Berulang kali, kisah-kisah mengenai perhimpunan-perhimpunan ini telah melaporkan fenomena yang sama: suatu perbualan yang mendalam, penuh pengertian berdasarkan pengalaman langsung dalam membina komuniti-komuniti bersemangat dan bukannya berasaskan andaian atau teori. Perbualan ini telah digerakkan oleh proses pembelajaran yang berterusan di setiap tempat. Ia dijiwai oleh pengiktirafan yang lebih mendalam akan kepentingan daya usaha komuniti Bahá’í dan implikasi yang dimilikinya bagi dunia bergolak yang terdesak mencari hala tuju. Rasa tanggungjawab dan keteguhan hati sedang dirasai, dan terdapat kesedaran yang tajam akan skala kerja di hadapannya. Sering kali, perbualan-perbualan ini membuka perspektif tambahan dan saling melengkapi yang mengakui bahawa daya usaha komuniti dan individu bukanlah semata-mata usaha untuk melaksanakan program-program dan projek-projek, tetapi sebagai pemupukan satu cara hidup berlandaskan ajaran-ajaran ilahi-iaitu pembentukan tindakan, interaksi, dan aspirasi.
Perbualan tulus yang sama ini, yang mencerminkan komitmen kepada pembelajaran, sedang dimajukan di seluruh komuniti dari peringkat nasional dan rantau hinggalah ke perkampungan dan kejiranan, dan dalam pelbagai persekitaran, termasuk dalam mesyuarat-mesyuarat yang telah diatur oleh institusi-institusi di samping ruangan lain yang kian muncul. Ia pasti akan menjadi satu ciri dalam Konvensyen Nasional juga. Kami menantikan untuk melihat corak-corak tindakan individu dan kolektif diperkukuh dan diperluas apabila perbualan ini berkembang. Seperti biasa, ia adalah perbualan yang harus dipanjangkan kepada lingkungan sahabat, jiran tetangga, dan jiwa-jiwa sehaluan yang semakin membesar, yang mengaitkan diri mereka dengan usaha-usaha untuk membawa kemajuan rohani dan material yang berasaskan kesatuan umat manusia. Ruang-ruang yang diwujudkan bagi memperluas perbualan ini-sama ada ia secara spontan atau dirancang jauh lebih awal-merupakan petunjuk bagi penglibatan yang semakin mendalam dengan masyarakat, dan kami berharap ia akan menjadi semakin biasa.
Ramai dalam masyarakat luas yang menemukan aktiviti akar umbi Bahá’í telah terpegun oleh ciri-ciri istimewanya: ia lahir daripada keprihatinan ikhlas untuk kebajikan semua, ia diorientasikan ke arah perpaduan dan khidmat, dan ia mengikuti prinsip-prinsip jelas namun tidak dianggap memiliki jawapan serta-merta bagi setiap masalah. Dalam semangat daya usaha bersama, umat Bahá’í berusaha untuk berkolaborasi dengan orang lain dan untuk belajar bersama; dan dalam hubungan yang mereka wujudkan dengan orang-orang yang menyandang kedudukan berautoriti dan tanggungjawab dalam masyarakat, mereka bersikap tulus dan berpandangan jelas. Mereka mengusahakan perubahan sosial tanpa cita-cita politik atau kepentingan diri, dan mereka mengakui bahawa apabila kemasyhuran Akidah meningkat, adalah mustahak untuk memastikan bahawa sifat sejati dan matlamat-matlamatnya difahami dengan baik. Di kebanyakan tempat, kedalaman yang kian bertambah dalam interaksi komuniti dengan masyarakat bermaksud bahawa, akhirnya, terdapat situasi-situasi baharu untuk diharungi dan persoalan-persoalan baharu untuk dijawab, dan ini sedang mendesak komuniti untuk terus memperkembangkan kebolehupayaan mereka.
Seperti yang kami telah jelaskan dalam utusan kepada Persidangan Kaunselor baru-baru ini, satu perkembangan besar sepanjang empat tahun yang lepas adalah kemunculan komuniti sebagai protagonis yang lebih ketara dalam Rancangan, yang mengatur diri agar dapat memenuhi keperluan-keperluan dan memajukan bidang-bidang daya usaha tertentu, untuk memberikan sokongan bersama melalui aturan-aturan kolaboratif, dan untuk belajar menjadi semakin berkesan dalam satu kerangka tindakan yang semakin berkembang. Satu contoh yang menonjol berkenaan ini adalah kelompok-kelompok belia, yang bekerjasama di suatu tempat dan menggalakkan penyertaan rakan sebaya mereka. Secara semula jadi, usaha-usaha mereka banyak dimanfaatkan daripada galakan dan bimbingan kasih institusi, tetapi belia juga telah menunjukkan kebolehan mereka untuk mengambil inisiatif dan mengenal pasti saluran khidmat yang membuahkan hasil. Kerap kali, daya usaha mereka sedang berlatarbelakangkan konflik dan kekacauan, ketidakadilan ekonomi, dan perpecahan sosial yang mendalam. Kami mengakui cabaran-cabaran yang dihadapi belia dalam keadaan-keadaan begitu, dan kami memuji mereka kerana menahan dorongan untuk mengkritik dan mengutuk, sebaliknya mereka mencari cara-cara membina untuk mengemudi halangan-halangan yang sukar ini dan berusaha untuk akhirnya menanganinya.
Rakan-rakan yang dikasihi, betapa pun bergolaknya masa ini, kami menggesa anda untuk tidak cemas mahupun patah semangat. 'Abdu'l-Bahá menasihati kita semua untuk bergantung kepada rahmat-rahmat Tuhan, dan agar menjadi “tetap penuh harapan”, menjadi “teguh” dalam harapan kita, dan menjadi “punca harapan kepada jiwa yang berputus asa”. Apabila ufuk dunia menggelap, harapan menjadi sumber yang terhad dan berharga-tetapi ia suatu yang mana komuniti Nama Teragung telah dikurniakan dengan berkat yang melimpah kerana keyakinannya pada masa depan umat manusia dan kerana apa yang ia telah pelajari daripada pengalamannya sendiri. Ramai sekali mendambakan harapan yang anda dapat bawa kepada hati mereka.
Bagi teladan yang gemilang sebuah komuniti yang telah lama melindungi nyalaan api harapan, kami melihat kepada penganut-penganut Bahá’u’lláh yang telah dizalimi namun sentiasa sabar, sentiasa teguh, sentiasa tabah di Tanah Kelahiran Akidah-Nya. Lihatlah mereka betapa kekal berdisiplin, betapa komited terhadap prinsip sepanjang penindasan yang tidak henti-henti selama berdekad-dekad-dan betapa bertekadnya mereka untuk belajar daripada kemajuan yang dilakukan oleh rakan seiman mereka di negara lain, betapa berazam untuk berkhidmat dan menenangkan rakan senegara mereka di bumi mereka sendiri. Kepada begitu ramai saudara senegara, mereka telah menjadi, dan terus menjadi, pelita harapan, mata air kasih dan pengertian, serta teman-teman yang dipercayai di jalan khidmat. Dalam minggu-minggu dan bulan-bulan kebelakangan ini, rakan-rakan yang kami begitu sayangi ini sering hadir dalam fikiran kami dan menjadi subjek doa kami berulang kali, sebagaimana kami pasti mereka juga dalam fikiran dan doa anda, memohon Tuhan Yang Maha Kasih untuk mendakap mereka dalam pelukan kasih lembut-Nya.
Daya-daya usaha anda sendiri untuk memajukan Kepercayaan Tuhan turut menjadi fokus permohonan doa yang kami panjatkan di Ambang Suci-terutamanya sekarang, pada pelancaran fasa baharu dalam Rancangan Sembilan Tahun. Sekerap kami berangkat ke Makam-makam Suci, kami merayu bantuan dan pertolongan ilahi bagi usaha-usaha anda, dan memohon keteguhan hati dan kekuatan bagi anda dalam usaha keras anda. Semoga anda pantas bertindak dan bersemangat untuk belajar, dan semoga semua berkat kerajaan syurgawi menjadi milik anda.
- The Universal House of Justice